Pusat Berita Muslimin (PURNAMA)
SU Umno Kelantan kalah
rebut Timbalan Ketua Bahagian Tumpat
TUMPAT: Setiausaha Badan Perhubungan
Umno Kelantan, Mat Nawawi Mat Jusoh dimalukan bekas 'orang kuat' Dato' Seri Anwar Ibrahim, apabila kalah bagi merebut
jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat. Haji Mohd Nor Yaacub mengatasi Mat Nawawi dengan majoriti lima undi, di mana
beliau memperolehi 261 undi dan lawannya 256 undi. Mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tumpat diadakan 10 Julai lalu. Manakala
Adun Wakaf Bharu, Mohd Rosdi Abdul Aziz menang bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Ketua Bahagian berkenaan, Dato’
Noor Zahidi Omar menang tanpa bertanding. Seorang penyokong Umno yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu kekalahan
Mat Nawawi begitu memalukan, lebih-lebih lagi kedudukannya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan yang dilantik
Dato’ Mustapa Mohamad. “Mohd Noor sebelum ini merupakan bekas penyokong setia mantan Timbalan Perdana Menteri.
Biar pun kedua-dua bekerja keras sejak sekian lama, namun Haji Noor lebih disenangi kerana sikapnya yang tidak kedekut,”
katanya di sini. Manakala di Jeli, bekas Timbalan Ketua Penaja Bahagian, Adhan Kechik gagal mempertahankan jawatannya.
Sebaliknya Adun Kuala Balah, Abdul Aziz Derashid berjaya memenangi jawatan tersebut. Seorang lagi orang kuat Ketua Bahagian,
Mustapa Mohamed iaitu Mustafa Musa pula menang sebagai Naib Ketua Bahagian Jeli. Seorang pemerhati politik di sini berkata,
kemenangan Abdul Aziz dan Mustafa memberi keselesaan kepada Mustapa untuk mengekalkan pengaruhnya di Jeli. “Sebelum
ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu dikatakan rimas berdepan dengan Adhan memandangkan pengaruhnya begitu besar di
Jeli. “Hari ini Mustapa boleh ‘tidur’ lena sedikit kerana pencabarnya sebelum ini berjaya dipatahkan
‘taringnya,” kata beliau. Bahagian yang dijangka berlaku persaingan sengit antaranya Pengkalan Chepa, Pasir
Mas, Machang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Rantau Panjang dan Kubang Kerian. Bahagian Ketereh, Kuala Krai, Bachok dan Gua
Musang pula dikatakan akan mengekalkan ketua penaja sedia ada. Bagaimanapun bagi jawatan timbalan ketua bahagian dan naib
dijangka turut berlaku perlawanan sengit. Manakala bagi perebutan jawatan calon Naib Presiden Umno, Mustapa dan Dato’
Zaid Ibrahim masing-masing sudah mempunyai pencalonan. Biar pun Mustapa mempunyai kedudukan keempat terbanyak setakat ini,
kemunculan Zaid tidak dapat disingkir dengan mudah. Malah pada mesyuarat Bahagian Kota Bharu baru-baru ini perwakilan tidak
mencalonkan nama Mustapa, sebaliknya menamakan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Dato’ Mohd Ali Rustam serta Zaid sebagai
calon Naib Presiden. Begitu juga mesyuarat perwakilan Jeli tidak menamakan Zaid sebagai calon pilihan bahagian tersebut
menduduki kerusi Naib Presiden Umno. Pemerhati politik melihat pertembungan secara peribadi di antara Pengerusi Perhubungan
Umno Kelantan dan timbalannya, Zaid berlaku secara terbuka sekarang. Selain itu, pertembungan di antara Mustapa dan Ku
Li juga semakin jelas sekarang apabila secara terang-terangan Ketua Umno Bahagian Jeli itu membidas hasrat anggota Parlimen
Gua Musang bertanding kerusi Presiden Umno. --------------------------
Majoriti pelajar Maahad berjaya langkau kelas
KOTA BHARU: Kecemerlangan pelajar-pelajar
aliran agama dalam akademik tidak dapat dinafikan, apabila ramai di kalangan mereka yang belajar di kelas peralihan layak
melangkau kelas. Mereka layak untuk terus belajar di tingkatan satu selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam
ujian kelayakan safful awal (UKSA) yang diadakan. Ini bermakna mereka hanya belajar enam bulan di kelas peralihan (safful
awal) dan enam bulan lagi di tingkatan satu. Misalnya di Maahad Muhammadi Lelaki sahaja terdapat seramai 232 pelajar kelas
peralihan layak untuk langkau kelas ke tingkatan satu. Manakala sembilan daripada mereka mendapat keputusan cemerlang 10A
dalam peperiksaan kelayakan tersebut. Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelajar-pelajar
cemerlang akan diberi peluang untuk langkau kelas dan mereka tidak perlu menunggu masa setahun bagi menamatkan kelas peralihan. “Biar
pun mereka hanya enam bulan belajar tingkatan satu, namun kelas tambahan diadakan untuk membolehkan mereka mengejar pelajar
lain yang lebih awal belajar di tingkatan satu," katanya pada majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang baru-baru ini. Penyampaian
hadiah kepada pelajar cemerlang UKSA disempurnakan Penolong Pengarah Akademik dan Kokurikulum Yayasan Islam Kelantan (YIK),
Abdul Kadir Othman. Biar pun setiap pelajar aliran agama terpaksa mengambil 20 subjek, namun mereka tetap cemerlang dalam
setiap peperiksaan yang diduduki. Matapelajaran yang diajar bagi pelajaran aliran agama di bawah YIK iaitu Quran, Tafsir,
Fiqah, Hadis, Tauhid, Nahu Soraf, Sirah, Mutalaah, Akhlak, Imlak, Khat, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains,
Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pengajian Islam dan Taabir. Subjek tersebut adalah untuk pelajar kelas Safful
Awal sehingga tingkatan tiga. -------------------------
Pentadbiran YIK dirombak
Oleh Wartawan Purnama
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sedang
berusaha memantapkan lagi institusi pendidikan agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan melakukan beberapa rombakan
di bahagian pengurusannya. Rombakan dilakukan terutamanya di bahagian pendidikan yang membabitkan pertukaran beberapa pegawai
kanan. Menurut sumber, antara pegawai terbabit dengan pertukaran itu termasuk Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), Ustaz
Mansor Daud yang berpindah ke Maahad Tahfiz Pulai Chondong sebagai mudir. Tempat beliau akan digantikan Zakaria Mohamad
(Penolong Pengarah Peperiksaan dan Penilaian YIK). Manakala pengetua maahad terbabit, Nasir Hasbullah ditukar ke Sekolah
Menengah Ugama (Arab) Saniah, Pasir Puteh. Jawatan Penolong Pengarah (Penyeliaan Pembangunan Sekolah) yang sebelum ini
disandang Ustaz Mohamad Ghani diambilalih Ustaz Mohamad Ya, Penolong Pengarah Kenaziran 1. Penolong Pengarah Hal Ehwal
Murid, Mohamad Daud Omar ditukar sebagai mudir di sekolah Amir Indera Petra, Beris Kubor Besar, Bachok. Tempat Mohamad
Daud pula digantikan Lutfi Awang Man, pengetua Sekolah Menengah Agama Arabiah Pasir Mas. Manakala pengetua Amir Indera
Petra ditukarkan ke sekolah Maahad Muhammadi Lelaki. Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, Wan Roslan Wan Hamat pula dilantik
sebagai Penolong Pengarah Kenaziran 1. Sementara itu, Pengetua Sekolah Ugama Syamsul Maarif, Labok Machang, Rosdi Zakaria
dilantik sebagai Penolong pengarah Kenaziran 11. Pengetua Sekolah Saniah Pasir Puteh, Mohd Zaki Deraman pula di lantik
sebagai Penolong Pengarah (Kurikulum Arab dan Agama) menggantikan Che Kamaruddin Kamil Muhammad yang akan memegang jawatan
Penolong Pengarah Peperiksaan dan penilaian. Difahamkan majlis penyerahan tugas secara rasmi antara pegawai yang terlibat
dengan pertukaran tersebut akan diadakan Khamis ini. Sebelum ini, ura-ura rombakan pengurusan bahagian pendidikan YIK akan
dilakukan selepas Ustaz Mohd Amar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi
sudah kedengaran.
-----------------------
Shahrizat
takut Siti Zaharah cabar Rafidah
KOTA BHARU: Kesediaan Dato’
Dr Siti Zaharah Sulaiman mencabar Dato’ Seri Rafidah Aziz bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia
menyebabkan ‘teamnya’ semakin resah. Keresahan itu terbukti apabila Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato’
Seri Shahrizat Abdul Jalil enggan mengulas apabila diajukan pemberita berhubung kesediaan Siti Zaharah mencabar Rafidah. Shahrizat
sebaik sahaja mendengar soalan yang diajukan kepadanya mengenai perkara itu selepas merasmikan satu majlis di sini kelmarin,
beliau terus meninggalkan wartawan tanpa menjawab walau sepatah perkataan pun. Para wartawan yang kecewa dengan tindakan
berkenaan, memanggil beliau beberapa kali ‘Dato’… Dato’, namun panggilan berkenaan langsung tidak
dipedulikannya. Seorang wartawan sebelum itu bertanya apa komen terhadap kesediaan Siti Zaharah menentang Rafidah bagi
merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno. -------------------
Ulama lepasan Makkah mati ditembak
TUMPAT: Pengasas pusat pendidikan
anak-anak mualaf di Takbai, Selatan Thailand dan Chiangrai di utara Bangkok, Ustaz Sanusi Yaakob meninggal dunia akibat ditembak
orang tidak dikenali pada 22 Jun lalu. Kedua-dua pusat itu diwujudkan bagi mengajar anak-anak mualaf yang baru menganut
agama Islam. Sehingga akhir hayat Ustaz Sanusi pusat terbabit mempunyai seramai 150 pelajar. Keluarganya memberitahu ulama
muda itu begitu gigih bagi mengembangkan agama Islam selepas menamatkan pengajian di Univesiti Ummul Qura, Makkah. Sebelum
itu beliau pernah belajar di Sekolah Menengah Ugama Meheliah, Genting Tumpat dan Maahad Muhammadi Pasir Pekan. “Allahyarham
meletak jawatan sebagai guru sebuah sekolah agama untuk berdakwah di Chiangrai di utara Bangkok. Selama empat tahun beliau
berdakwah di sana dan berjaya mewujudkan pusat pendidikan bagi saudara baru,” katanya pada satu kenyataan di sini. Di
Chiangrai Allahyarham berjaya menempatkan dua guru agama yang sanggup berkhidmat sepenuh masa. Selain itu, seorang adik perempuannya
juga sanggup berpisah daripada keluarga untuk tinggal di Chiangrai bagi mendidik saudara-saudara baru. Hasil bantuan penduduk
kampung beliau berjaya mewujudkan pusat dakwah di Takbai dan Chiangrai. Allahyarham juga berjaya mendapat derma daripada umat
Islam di Brunei dan Malaysia bagi membina bangunan di pusat dakwah tersebut. Di Takbai di atas tanah ‘sekangkang
kera’ yang diberi keluarganya dibina bangunan asrama dan masjid untuk membolehkah anak-anak bekas penganut agama Buddha
mendalami mengenai Islam. “Allahyarham mendapat bantuan daripada orang kampung bagi menampung keperluan
makan, minum, pakaian dan pendidikan anak-anak muridnya,” katanya. Beliau berkata, Ustaz Sanusi juga terlibat aktif
dalam gerakan dakwah. “Kefasihannya menguasai bahasa Siam menyebabkan dakwahnya mudah difahami orang ramai termasuk
penduduk keturunan Siam,” katanya. Pusat pendidikan di Takbai dibina sejak lima tahun lalu, selepas beliau kembali
dari Chiangrai. Pada hari kejadian menurut kenyataan tersebut, Ustaz Sanusi ditembak dari jarak dua meter di depan rumahnya
sendiri kira-kira jam 8 pagi. “Pembunuh upahan menggunakan pistol pada awalnya mahu mengadakan perbincangan dengan
pelajar-pelajarnya. Dua das tembakan dilepaskan di kepalanya,” ujarnya. Jenazahnya selamat dikembumikan di Tanah
Perkuburan Kampung Takbai dengan diiringi lebih 1,500 penduduk tempatan. Sehubungan itu, keluarganya memohon kerajaan Thailand
menyisat mengenai kejadian malang tersebut.
----------------------
Halang Anwar dirawat: Dollah angkuh
KOTA BHARU: Anggota Dewan Negara,
Senator Wan Ubaidah Wan Omar mengingatkan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak angkuh bagi membenarkan Dato’
Seri Anwar Ibrahim mendapat rawatan pakar di luar negara. Beliau berkata, seharusnya sifat kemanusiaan lahir dari jiwa
pemimpin negara, biar pun terhadap lawan politik sekali pun. “Kalau tidak mahu mendengar pandangan pembangkang, dengarlah
nasihat pakar-pakar perubatan di negara ini kerana mereka tidak mempunyai agenda politik. “Jadi, atas sifat peri
kemanusiaan saya merayu supaya membenarkan Dato’ Seri Anwar berubat di luar negara,” ujarnya di sini. Ubaidah
berkata, pemimpin kerajaan BN terutamanya Perdana Menteri sewajarnya membenarkan Anwar mendapat rawatan di Alpha Klinik, Munich
Jerman sebagai jalan terbaik mengubati bekas Timbalan Perdana Menteri itu. -------------------
Oghe Kito
Ku Li tetap gurkha, Mustapa terkial-kial
Oleh MJ KEBERANIAN Tengku Razaleigh Hamzah menawar diri untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno, hari ini
seakan-akan sudah turun ‘suhunya’. Biar pun ia telah ‘digegerkan’, namun selepas 68 bahagian Umno
selesai mesyuarat perwakilan, tidak juga kelihatan nama Ku Li diminati sebagai calon Presiden. Tanpa menghampiri kuota
pencalonan daripada 58 bahagian, Ku Li akan terus bermimpi untuk menjadi Presiden Umno. Ingauan menduduki kerusi Perdana Menteri
berlalu begitu sahaja. Sekarang siapa yang benar-benar berani meredah arus. Poket hendak diisi, pangkat mahu dijulang dan
kuasa biar di tangan. Namun, erti kegagalan dalam perjuangan adalah perkara lumrah bagi Ku Li. Pada 1981 Ku Li mencuba
nasib melawan Tan Sri Musa Hitam bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Umno. Tiga tahun kemudian beliau sekali lagi merebut
jawatan sama dan tewas juga. Pada 1985 Musa meletak jawatan kerana tidak sebulu dengan Dr Mahathir Mohamad. Musa dan Ku
Li selepas itu pada 1987 berganding bahu untuk sama-sama menumbangkan Mahathir. Ketika itu, rakyat Kelantan sudah dijaja putera
raja dari negeri Cik Siti Wan Kembang bakal menjadi Perdana Menteri. Malangya, Ku Li tewas 43 undi, yang dianggap tipis
dan berupaya mengugat kedudukan Mahathir. Peristiwa hitam itu akhirnya membawa kepada pengharaman Umno. Dari situ lahir
Umno baru dan Parti Melayu Semangat 46. Menjelang pilihan raya 1990, Ku Li dan anak buahnya ‘bertengek’ di atas
rakit PAS bagi meneruskan survival politiknya. Ketika itu, Ku Li menjadi sasaran media. Pelbagai tomohan dilemparkan. Selama
enam tahun Ku Li mengharungi badai bersama PAS dengan mengemudikan negeri Kelantan. Keupayaan perjuangan Ku Li menonjol
seketika, apabila mempertahankan imuniti raja-raja Melayu. Ku Li dan puaknya menjadi hulubalang mempertahankan ketuanan Melayu.
Tahkala itu, Ku Li diangkat rakyat Kelantan menjadi hero sebenar. Namun, selepas enam tahun berpidato bersama pemimpin
PAS di satu pentas, Ku Li akhirnya merujuk semula kepada Umno. Beliau kuburkan sendiri parti yang diasaskan tanpa batu nisan. Mesej
yang dilaungkan kononnya untuk perpaduan orang Melayu. Sebagai balas budinya, Ku Li diberi percuma jawatan Ketua Bahagian
Gua Musang oleh Mahathir. Bekas ketua bahagian Gua Musang diturun pangkat menjadi timbalannya. Tidak lama kemudian Ku Li diberi
‘pinjam’ jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Pada pilihan raya 1999, Barisan Nasional (BN) di
bawah Ku Li hanya mampu mempertahankan satu kerusi parlimen dan dua DUN di Kelantan. Sedangkan pelbagai istilah digunakan
media seperti sireh pulang ke gangang untuk menggambarkan kewibawaan Ku Li. Namun ia tidak ke mana-mana. Bermula dari
situ secara rasmi Ku Li mahu dikenali sebagai gurkha. Setelah tenggelam timbul, baru-baru ini, Ku Li muncul kembali untuk
‘test market’ dunia politiknya dalam Umno ketika di penghujung usia. Bagaimanapun menjelang perhimpunan agung
pada 2000, Ku Li sudah menyemarakkan hasratnya bertanding kerusi Timbalan Presiden. Namun kuota pencalonan 20 peratus menjerat
hasratnya. Ku Li mahu mencatat sejarah beliaulah antara manusia yang sanggup berdepan dengan arus deras. Ku Li dan Sulaiman
Palestin mungkin mahu dikenang dalam sejarah adalah tokoh ‘terbilang’ yang bersedia menghidupkan ruang demokrasi
dalam Umno. Hari ini hujung jatuh politik Ku Li, ramai yang sudah mampu memberi tanggapan sendiri. Tidak ke mana-mana.
Cuma kemunculannya mampu memanas rumah tangga Umno seketika. Beliau juga mungkin mahu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
rasakan sekejap erti kegelisahan. ‘Keranda’ perjuangan Ku Li bakal menanti masa untuk diusungkan. Sedangkan
ketika ini lebih ramai berminat melihat kemampuan Dato’ Mustapa Mohamad membolos diri menjejaki ‘mahligai’
Naib Presiden. Isu ini sebenarnya yang tidak boleh dikesampingkan. Setelah berjaya mengugatkan kerajaan PAS dengan
kedudukan hampir selesa pada pilihan raya umum lalu, Mustapa sudah dinobat sebagai wira kampung. Mustapa juga sudah jauh
meninggalkan Dato’ Zaid Ibrahim dalam pendakian ini. Peguam yang mencabar hukum hudud itu, kini hanya mendapat dua pencalonan
untuk menduduki kerusi Naib Presiden. Namun, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan terbabit ternyata masih dilanda gelisah.
Pencalonannya setakat ini masih di luar daripada tiga calon popular barisan Naib Presiden. Sekiranya Mustapa gagal kali
ini, bermakna keperwiraan tidak sehebat mana. Cuma kokokkannya setakat bumi Kelantan sahaja. Ramai orang Umno mengenali
Mustapa sebagai pemimpin jujur yang sukar untuk ‘minum kopi’. Sedangkan dalam diari Umno, ‘duit kopilah’
mampu menjunjung seseorang ke puncak singahsana. Mungkin selepas September depan Mustapa masih terkial-kial dan Ku Li
tetap dengan gurkhanya.
|